YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail diiringi Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
POLIS BERI AMARAN ‘MESRA’ KEPADA PENJAJA LAMPU ISYARAT
Oleh: Fansurina Abdullah Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 25 MAC 2021: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada penjaja makanan di lampu isyarat supaya menghentikan operasi jualan mereka serta-merta sebelum diambil tindakan.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, tindakan penjaja terbabit mengganggu lalulintas selain membahayakan diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya lain terutama ketika trafik sesak di kawasan lampu isyarat.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
“Mereka ini boleh dikenakan tindakan saman kerana mengganggu lalulintas dan pengguna jalan raya. Buat masa ini kita belum mengeluarkan sebarang saman kerana pihak polis memberikan amaran ‘mesra’ supaya menghentikan segera aktiviti jualan mereka di lokasi lampu isyarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Abd Jalil berkata, PDRM telah menahan seramai 1,414 orang yang gagal mematuhi Prosesur Operasi Standard (SOP) sejak Mac tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 607 orang telah dituduh dan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 342 kerana melanggarkan SOP.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin keluar masuk merentas negeri ke Pahang supaya mendapatkan surat atau pun permit rentas negeri di balai polis berdekatan bagi mengelak dikenakan kompaun RM10,000.
Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk ke negeri ini nanti. – PAHANGMEDIA