Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing, hari ini.

KANAK-KANAK PEREMPUAN 12 TAHUN LEMAS DI SUNGAI LEMBING

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 MAC 2021: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa, Nur Syakirah Shahrizan ditemui oleh orang awam dan penduduk kampung yang berada dilokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Menurut beliau, mangsa dikatakan turun untuk mandi di sungai tersebut bersama dua lagi adiknya namun ketiga-tiga mereka telah tenggelam.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu pergi ke kawasan tersebut untuk berkelah dan mandi sungai bersama keluarga.

“Mangsa dan keluarga bertolak dari rumah mereka di Inderapura pada 8.30 pagi dan tiba di tapak perkelahan Sungai Mas pada 9.30 pagi.

“Pada pukul 10.15 pagi, mangsa bersama dua orang adiknya telah turun mandi berhampiran tapak perkelahan menyebabkan ketiga-tiga mereka tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.

Beliau berkata, bapa mangsa yang berada di lokasi kejadian sempat menyelamatkan dua orang anaknya manakala mangsa tidak sempat diselamatkan dan telah dihanyutkan arus.

“Orang awam dan penduduk kampung yang berada dilokasi kejadian bertindak membantu menyelamatkan mangsa dan mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung lebih kurang sepuluh minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, bapa mangsa telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing dan mangsa telah disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds