PROJEK RUMAH MAKMUR DAN PR1MA PAHANG STRATEGI KAWAL HARGA RUMAH DI PAHANG
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 20 MAC 2021: Projek Rumah PR1MA Pahang dan Rumah Makmur adalah salah satu strategi Kerajaan Negeri dalam mengawal harga rumah di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan rumah adalah satu permintaan yang sentiasa berterusan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Rumah ni adalah satu benda yang ada demand. Sebab rumah ni, lagi banyak kita buat, dia akan supply demand. Kalau kita sediakan banyak (rumah), jadi rumah yang swasta sediakan itu mungkin tidak boleh dinaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
“Kalau rumah tak ada, supply tak cukup, tetapi demand tinggi, jadi harga (rumah) akan jadi naik. Dan kita ni (Kerajaan Negeri) jadi faktor menstabilkan harga rumah dengan pembinaan Rumah Makmur dan Rumah PR1MA ini,” katanya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 di Kuantan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 di sini hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda; Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II , YB. Tuan Mohd Shahar Abdullah; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Asmaliza Ku Lah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat Rumah PR1MA pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 di Kuantan hari ini.
Beliau ketika ditanya mengenai sasaran jumlah rumah yang akan dibina di negeri ini berkata, Kerajaan Negeri akan terus membina rumah mampu milik ini demi rakyat negeri ini.
“Jika ekonomi baik, akan sentiasa ada pertambahan (permintaan dan pembinaan rumah). Kerajaan Negeri akan terus buat rumah ini pada masa akan datang,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang telah membatalkan 31 projek rumah PR1MA Pahang setakat ini disebabkan pihak pemaju yang tidak kompeten.
“Projek ditarik balik sebab dia tak buat. Kita tarik balik setelah kita kaji semua aspek, dan syarikat itu sendiri, kita nampak, tidak mampu untuk melaksanakan projek tersebut. Kita nak pemaju boleh menyiapkan rumah dalam masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Pahang telah mengenalpasti empat syarikat yang tidak membangunkan tanah yang dibeli di negeri ini.
“Dia (syarikat) mohon tanah dan Kerajaan Negeri dah lulus, lepas itu dia mohon pula tanah lain dan sekarang ini kita dah buat keputusan, kita minta dia (syarikat) bangunkan tanah-tanah yang ada itu dahulu,” katanya. -PAHANGMEDIA