Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) daeah Pekan yang menerima bayaran ‘one-off' RM1000.

KERAJAAN PAHANG TERUS BELA RAKYAT

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 20 MAC 2021: Tindakan Kerajaan Pusat yang menghentikan bayaran elaun bulanan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) di negeri ini tidak sama sekali menjadi halangan dan melemahkan semangat Kerajaan Pahang untuk terus membantu dan membela nasib golongan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Negeri tidak merasa sedih dengan keputusan Kerajaan Pusat ini kerana Pahang merupakan sebuah negeri yang berdikari, kerajaannya bertanggungjawab dan mampu menghadapi apa jua rintangan yang mendatang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

“Kerajaan Pahang tidak akan merendah diri apa jua keputusan dari Pusat kerana kita ada maruah. Pengerusi JKKK, JKKB dan Timbalan Pengerusi JKKR adalah orang-orang yang amat besar jasanya kepada negeri ini dan merupakan tonggak utama yang menjaga kestabilan dan keharmonian kampung- kampung selama ini.

“Kerana itu YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada 11 Mac baru ini mengumumkan bahawa Kerajaan Pahang akan tetap menyambung sendiri bayaran elaun bulanan ini malah turut memberi ‘one-off’ berjumlah RM1000 kepada mereka,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bayaran ‘one-off’
(RM1000) kepada semua Pengerusi JKKK, JKKB dan Timbalan Pengerusi JKKR di Daerah Pekan melibatkan 80 penerima, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Haji Mahmud; ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali dan ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain.

Beliau berkata, secara keseluruhan pemberian ‘one-off’ dibawah Program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) ini melibatkan 675 penerima di seluruh negeri Pahang dengan peruntukan berjumlah RM675,000.

“Ini semua dapat dilaksanakan kerana kebijaksanaan Kerajaan Pahang dibawah pimpinan YAB Menteri Besar dibantu semua barisan EXCO, ADN, kepimpinan dan kakitangan Kerajaan Pahang yang telah bekerja keras memajukan negeri ini.

“Ia juga dibantu kesetiaan seluruh rakyat pelbagai kaum di negeri ini yang sentiasa memberi kepercayaan kepada Kerajaan Pahang.

“Selepas hampir tiga tahun dibawah pimpinan YAB Menteri Besar, Kerajaan Pahang telah berjaya mendapat lebihan hasil berjumlah RM178 juta bagi tahun 2020 dan kini mempunyai rizab simpanan kewangan berjumlah RM280 juta,” katanya.

Antara Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) daeah Pekan yang menerima bayaran ‘one-off’ RM1000.

Jelasnya lagi, belum pernah dalam sejarah Negeri Pahang, Kerajaan Negeri mampu mempunyai rizab simpanan kewangan seperti ini dan ia hanya terjadi dibawah pimpinan YAB Menteri Besar.

“Sudah tentu ini menggambarkan kecemerlangan dan kebijaksanaan pentadbiran YAB Menteri Besar Pahang. Syarikat-syarikat GLC milik Kerajaan Pahang yang ditubuhkan kini semakin maju dan telah menyumbang kepada hasil pendapatan yang amat memberangsangkan.

“Banyak lagi yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pahang untuk terus memajukan negeri ini dan membela nasib rakyat. Kerajaan Pahang tidak meminta lebih, hanya perlukan sokongan yang padu tanpa berbelah bahagi dari semua lapisan masyarakat termasuk Pengerusi JKKK/JKKB dan Timbalan Pengerusi JKKR,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds