Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali

DUA BERADIK ANTARA TUJUH DIKOMPAUN RM10,000

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 MAC 2021 : Dua beradik antara tujuh individu yang dikenakan tindakan kompaun RM10,000 kerana gagal untuk mendaftar masuk premis di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kesemua individu berusia 18 hingga 61 tahun ini didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan oleh Kerajaan dalam satu operasi pemantauan pada 10 malam tadi.

“Kesemua tujuh individu ini termasuklah pemilik permis perniagaan berupa gerai makanan di Telok Cempedak telah dikenakan kompaun di bawah Peraturan 18 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kesalahan yang dilakukan adalah kerana membenarkan pelanggan masuk ke premis tanpa mendaftar masuk menggunakan aplikasi QR Code MySejahtera dan tidak mendaftar nama pada buku daftar masuk premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Prima Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, setakat ini terdapat 25 individu yang telah dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar SOP dalam tempoh 11 Mac sehingga semalam di daerah ini.

Menurut beliau lagi, pihak polis bukan bertindak sesuka hati dalam mengeluarkan kompaun kepada orang ramai tetapi mereka menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Kita dah bagi nasihat dan amaran dah banyak kali sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka dan SOP yang perlu dipatuhi ini juga bukanlah perkara baharu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan rantaian wabak Covid-19 ini dapat diputuskan segera.

“Jadi saya ingin menyeru orang ramai supaya tidak mendedahkan diri dalam keadaan tidak mematuhi SOP yang digariskan.

“Kita mengeluarkan kompaun ini bukan untuk mencari kesalahan tetapi ini adalah tindakan untuk membasmi wabak ini daripada terus merebak dalam kalangan kita.

“Pihak polis juga telah menambah jumlah pasukan pemantau pada hujung minggu kerana orang ramai telah mula keluar melakukan aktiviti dan kita tidak mahu halang orang ramai dari melakukan aktiviti mereka tetapi kita mahu pastikan mereka patuh kepada SOP,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds