YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19 (kedua) pada Program Imunisasi COVID-19 (Dos Kedua Peringkat Negeri Pahang dan Majlis Pelancaran Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

SISTEM IMUNISASI COVID-19 PAHANG LANCAR USAHA PEMBERIAN VAKSIN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 MAC 2021: Pahang telah mewujudkan Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang sejak sebelum bermula Fasa 1 bagi pemberian suntikan kepada petugas barisan hadapan.

Ia lebih khusus berbanding aplikasi MySejahtera dan laman sesawang atau ‘hotline’ Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang membuat notifikasi menentukan tarikh janji temu untuk calon-calon penerima suntikan di setiap negeri.

Melalui penggunaan sistem ini juga, proses imunisasi bagi rakyat Pahang di bawah ketiga-tiga Fasa yang ditetapkan dijangka akan berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, fungsi sistem ini ialah bagi mengumpul semua data mengenai calon-calon penerima suntikan daripada agensi-agensi terlibat, diberi tarikh janji temu dan diserahkan kepada MySejahtera untuk dibuat notifikasi kepada penggunanya.

“Bagaimanapun, ada dalam kalangan senarai penerima Fasa 1 tidak menerima notifikasi MySejahtera kerana mereka bukan pengguna MySejahtera. Menurut rekod, 64 peratus daripada mereka tiada aplikasi MySejahtera.

“Sebaliknya, sistem ini mampu memaklumkan tarikh janji temu kepada semua 32,000 calon penerima vaksin Fasa 1 Pahang atau dengan kadar 100 peratus,” katanya dalam sidang media selepas Program Imunisasi COVID-19 (Dos Kedua Peringkat Negeri Pahang dan Majlis Pelancaran Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Dalam majlis itu juga, YAB Menteri Besar Pahang turut melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19 (kedua) pada pukul 4.15 petang.

Suntikan kedua itu diterima genap 21 hari selepas menerima suntikan dos pertama di lokasi sama, pada 26 Februari lalu, seperti yang disyaratkan bagi penggunaan vaksin jenis itu.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman, Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hasan serta barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menghadapi Fasa 2 bermula April ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan data bagi 360,000 calon penerima dan dimasukkan ke dalam SICP meliputi warga emas 60 tahun dan ke atas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit kronik.

“Data ini diperoleh daripada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Calon-calon penerima hanya perlu menyemak dalam sistem dan membuat pengesahan serta persetujuan, dan SICP akan bersedia untuk memulakan pemberian tarikh janji temu mereka,” katanya.

Menurutnya, SICP telah menerima dan mempunyai senarai nama misalnya bagi 6,050 orang warga emas dan angka ini jauh berbeza daripada perangkaan unjuran tahun 2009 yang direkodkan seramai 170,000 orang, sepertimana juga terdapat dalam senarai MySejahtera.

“Di bawah Fasa 2 juga, SICP membolehkan saringan dilakukan ke atas mereka yang menghidap beberapa jenis penyakit, yang tidak membolehkan mereka diberi suntikan di lapangan sebaliknya mesti dilakukan di hospital.

“SICP juga menyediakan 12 talian untuk urusan kemaskini data, tukar temu janji mahupun semakan sahaja.

“Dalam mengesahkan data yang ada pada SICP, petugas terdiri daripada pelbagai pihak termasuk sukarelawan, ketua kampung dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digerakkan bagi mengenal pasti dan mengesahkan terutamanya bagi data yang meragukan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds