Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Baharu (JKKKB) Negeri Pahang yang baharu dilantik.

KERAJAAN PAHANG SERAH WATIKAH LANTIKAN 37 AHLI JKK KAMPUNG BAHARU

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 19 MAC 2021: Kerajaan Pahang menyerahkan watikah pelantikan buat pertama kalinya kepada 37 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Baharu (JKKKB) Negeri Pahang Peringkat Daerah Kuantan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, pelantikan ini bagi memastikan kampung baharu mendapat penglibatan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

“Sebenarnya peranan kampung baharu ini adalah sebagai jawatankuasa yang membantu Majlis Bandaraya Kuantan dan majlis perbandaran serta majlis daerah.

“Peranan mereka ini tertakluk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta 171, di mana pelantikan hari ini, kita telah serahkan 37 ahli JKKK Kampung Baharu dan peranan kita adalah untuk memastikan kampung baharu dalam keadaan yang dapat penglibatan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Baharu (JKKKB) Negeri Pahang Peringkat Daerah Kuantan di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamiza Hamzah.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga telah melantik tiga orang ahli Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebagai ahli JKKKB.

“Mereka ini memang ada hubungan erat dengan Majlis Bandaraya, di mana sebahagian daripada wakil adalah ahli majlis. Kita ada tiga ahli Majlis Bandaraya yang mewakili setiap kawasan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, kesemua JKKKB ini dilantik bagi tempoh dua tahun iaitu bermula pada 1 Oktober 2020 sehingga 30 September 2022 kelak.

“Skop tugas mereka adalah sama dengan JKK di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tetapi Kampung Baharu ini di bawah KPKT,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds