Gambar hiasan.

KERAJAAN PAHANG BERI KELONGGARAN AKTIVITI KEAGAMAAN DI MASJID, SURAU

KUANTAN, 19 MAC 2021: Kerajaan Pahang telah melonggarkan lagi beberapa perkara berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau di Pahang, termasuk kebenaran pengganjuran kuliah serta majlis ilmu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelonggaran itu telah mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, ia berkuatkuasa mulai hari ini sehingga dimaklumkan kemudian, bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara dan negeri ini.  

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Sebelum ini, kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh sahaja dibenarkan tetapi kini dibenar dan diperluaskan meliputi Kuliah Dhuha, Kuliah sebelum solat Jumaat, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, Kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan, Bacaan Yaasin dan tahlil.

“Jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu ini juga kini dibenarkan, katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini. 

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, turut dibenarkan ialah kehadiran pada majlis akad nikah di masjid, dengan berdasarkan ruang yang ditetapkan di mana sebelum ini, kehadiran itu terhad kepada hanya 20 orang sahaja.

Selain itu menurut beliau, mengenai had umur bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat Fardhu pula, kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ke atas kini dibenarkan di mana sebelum ini, hanya yang berumur 12 tahun ke atas dibenarkan.

“Sungguhpun begitu, perkara-perkara lain berkaitan SOP sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, hendaklah terus diamalkan.

“Semoga dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberi dan dinyatakan ini, kita semua dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan masjid dan surau kita,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds