Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (tengah) ketika Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Bangunan Asrama Lelaki Sekolah Menengah Agama Al-Falah di Raub hari ini.
BANGUNAN ASRAMA SMA AL-FALAH YANG TERBAKAR SIAP DIBAIK PULIH
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
RAUB, 18 MAC 2021: Bangunan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, Batu Talam di sini yang sebelum ini rosak akibat terbakar dalam kejadian pada Julai tahun lalu akhirnya telah siap dibaik pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, projek baik pulih bangunan ini telah bermula pada 21 September tahun lalu dan siap pada 11 Januari lalu.
“Ia dilaksanakan oleh Budaya Emas Trading sebagai kontraktor utama dengan kos harga kontrak sebanyak RM459,133.20 serta Tuah Kuasa Elektrik Enterprise sebagai kontraktor kerja elektrikal (RM64,198.00) dan TCM Engineering & Services sebagai kontraktor kerja mekanikal (RM87,600.00).
“Kos yang telah mendapat perhatian Kerajaan Negeri ini di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah memudahkan urusan Jawatankuasa Agama dan Pendidikan. Ia juga mendapatkan kerjasama JAIP serta JKR bagi melaksanakan kerja baik pulih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika meninjau keadaan bangunan asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Al-Falah di Raub hari ini.
Sebelum itu beliau turut menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Bangunan Asrama Lelaki Sekolah Menengah Agama Al-Falah di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah JAIP, YH. Dato’ Dr Haji Zulkefli Haji Ali Alhafez dan Jurutera Daerah Raub, Ir Encik Mohamad Dzakir Ahmad Yusof.
Beliau berkata, keadaan bangunan yang lebih bersih dan selesa sudah pasti memberi dorongan dan semangat kepada pelajar serta guru untuk lebih berdisiplin dalam mendidik serta meningkatkan kualiti.
Sementara itu dalam majlis yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada tiga buah masjid dan RM3,000 kepada dua buah surau yang terlibat dengan banjir baru-baru ini. – PAHANGMEDIA