Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 MAC 2021: Lorong seni baharu di tengah bandar raya Kuantan di sini atau lebih dikenali sebagai Kuantan Street Art telah menarik kira-kira 50,000 pengunjung sejak dibuka secara rasmi pada 21 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata, jumlah ini juga dijangka akan terus meningkat pada masa akan datang.

“Kita harap jumlah (pengunjung) akan terus meningkat dan secara umumnya, memang ramai yang menunggu peluang untuk datang ke Pahang.
“Kalau kita tanya soalan kepada orang ramai mengenai destinasi pilihan mereka untuk melancong, kebanyakannya akan menjawab negeri Pahang dan ini bermakna kita mempunyai kelebihan dan banyak lokasi yang menarik untuk dipilih pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Kuantan Street Art di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, YB. Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuantan, YH Dato’ Hamiza Hamzah.
Beliau berkata, kawasan Kuantan Street Art ini juga boleh menjadi ikon pelancongan terbaharu di negeri ini dan pihaknya juga telah mengambil langkah memasang kamera litar tertutup di kawasan berkenaan.
“Tujuan utama kita pasang CCTV adalah untuk memastikan tempat ini tidak diganggu atau dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, jadi saya ingatkan kepada semua pengunjung bahawa tempat ini sentiasa dipantau.
“Ini semua adalah untuk pastikan semua lukisan yang ada ini selamat, kita bimbang lukisan ini diconteng oleh mereka yang tidak bertamadun tetapi saya yakin orang di Kuantan lebih bertamadun,” katanya.
Beliau turut berharap orang ramai menghargai kesemua 36 buah lukisan jenis tiga dimensi (3D) yang dihasilkan oleh 13 pelukis yang merupakan anak Pahang sendiri di laluan tersebut. -PAHANGMEDIA