Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang merampas 568 unit jam tangan pelbagai jenama bernilai RM25,000 dalam serbuan di dua permis di sekitar Kuantan Parade.

KPDNHEP PAHANG RAMPAS JAM TIRUAN BERNILAI RM25,000

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 17 MAC 2021: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang merampas 568 unit jam tangan pelbagai jenama bernilai RM25,000 dalam serbuan di dua permis di sekitar Kuantan Parade di sini semalam.

Pengarah KPDNHEP Negeri Pahang, YH. Dato’ Mark Ujin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di kedua-dua premis setelah membuat risikan selama seminggu.

“Operasi yang dijalankan oleh sepasukan seorang pegawai dan 13 anggota penguatkuasa tersebut telah menemukan sejumlah 568 unit jam tangan pelbagai jenama yang mana memiliki cap dagangan yang dituntut dan nilai rampasan sebanyak RM25,000.

“Siasatan awal mendapati premis itu menawarkan barangan tiruan disebalik perniagaan menjual barang tulen pelbagai jenis jam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang merampas 568 unit jam tangan pelbagai jenama bernilai RM25,000 dalam serbuan di dua permis di sekitar Kuantan Parade.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti sumber barangan berkenaan diperolehi oleh peniaga terbabit.

“Kes disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang.

“Dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya.

Menurut beliau lagi, sepanjang tempoh suku pertama tahun 2021, KPDNHEP Negeri Pahang dan cawangan telah menjalankan pemeriksaan terhadap 10,286 premis.

“Daripada jumlah bilangan premis yang diperiksa, sejumlah 232 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan terkumpul adalah RM188,812.70, manakala jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM 54,400,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Bahagian Penguatkuasa memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang.

“Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; atau hubungi talian 1-800-886-800; atau emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; atau menggunakan aplikasi Ez ADU.

“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian 03-88826245/6088; atau talian MYGCC 03-80008000; atau Whatsapp ke 019-2794317; atau hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download