Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah
PEGAWAI BOMBA MENINGGAL DUNIA BUKAN PUNCA VAKSIN COVID-19
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 MAC 202: Kematian seorang pegawai bomba yang dikaitkan akibat menerima suntikan COVID-19, adalah disebabkan oleh serangan jantung.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, punca kematian pegawai bomba berkenaan telah disahkan oleh pakar.
“Beliau menerima suntikan vaksin COVID-19 tersebut pada Jumaat lalu iaitu empat hari sebelum meninggal dunia.
“Allahyarham mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 kerana masalah jantung dan pakar mencadangkan agar menjalani pembedahan.
“Pada Ahad lalu, Allahyarham telah ke Hospital Raub kerana mengalami gejala-gejala serangan jantung. Beliau dirawat sewajarnya dengan alat bantuan pernafasan lalu dirujuk ke hospital berpakar.
“Di Hospital Kuala Lipis beliau telah dirawat di Unit Rawatan Rapi. Bagaimanapun, keadaan beliau semakin tenat dan meninggal dunia pada 16 Mac 2021 (semalam),” katanya.
Pihak JKNP turut menyeru orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak tepat dan tidak sahih bagi mengelakkan tanggapan yang salah terhadap vaksinCOVID-19.
“Pihak JKNP memandang serius isu yang tular tersebut dan siasatan telah dijalankan serta merta berhubung kes ini,” katanya. -PAHANGMEDIA