Seorang remaja dan anak saudara dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Pahang di Kampung Loyang dekat Sanggang di Temerloh.

REMAJA, ANAK SAUDARA DIKHUATIRI LEMAS DI SUNGAI PAHANG

TEMERLOH, 15 MAC 2021: Seorang remaja dan anak saudara dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Pahang di Kampung Loyang dekat Sanggang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Hakim Faqih Norazmi, 16, dari Kampung Desa Murni dan Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 9, dari Kampung Loyang Sanggang dekat sini.

Menurut beliau, mereka dikatakan ke sungai berkenaan bersama tiga lagi ahli keluarga dengan menunggang motosikal pada 4.15 petang.

“Ketika sedang mandi, Naufal Farhan tiba-tiba menghadapi kesukaran di dalam air akibat arus deras. Hakim Faqih cuba berenang ke arah Naufal untuk menariknya, namun tidak berjaya dan dia turut dihanyutkan arus deras.

“Beberapa penduduk kampung yang berada di tebing terjun ke dalam sungai dan cuba mengesan mangsa tetapi gagal, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asisten Komisioner Mohd Yusri berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan sebaik menerima panggilan pada 4.50 petang yang turut disertai bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung namun dihentikan pada 7.30 malam memandangkan cuaca gelap dan akan disambung semula pagi ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds