YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Program Cakna Suri dan Jelajah Peduli Keluarga Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Sungai Koyan, Lipis.

KERAJAAN PAHANG PERTIMBANG WUJUDKAN PERBADANAN KEMAJUAN ORANG ASLI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
 
KUALA LIPIS, 14 MAC 2021 : Kerajaan Pahang sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan Perbadanan Kemajuan Orang Asli di negeri ini bagi melancarkan sebarang urusan pembangunan berkaitan masyarakat Orang Asli.
 
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif ini diusulkan sebagai satu usaha membantu mengoptimumkan pembangunan masyarakat tersebut tanpa sebarang birokrasi.


 
“Saya dapati masyarakat Orang Asli masih lagi tertinggal berbanding kaum-kaum lain, jadi tujuan penubuhan perbadanan ini supaya dapat mempercepatkan proses pembangunan masyarakat Orang Asli.
 
“Kita semua sedia maklum sekiranya perbadanan, birokrasinya kurang tidak seperti sekarang ini menerusi JAKOA perlu merujuk kepada ibu pejabat JAKOA dan banyak prosesnya, tetapi jika ada perbadanan kita boleh singkatkan proses birokrasi dan kita boleh buat keputusan dengan cepat,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cakna Suri dan Jelajah Peduli Keluarga Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Sungai Koyan, di sini, hari ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.


Hadir sama ialah barisan EXCO Kerajaan Pahang, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), En. Abdul Shukur Abdullah, Pengarah LPPKN Negeri Pahang, Puan Norhafizah Mohd Nor dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
 
Pada majlis pelancaran tersebut, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan kepada 6,000 wanita di negeri ini bagi melakukan ujian pengesanan kanser payudara atau mamogram menerusi LPPKN negeri ini.
 
Katanya, golongan yang diberi keutamaan adalah dari kelompok B40 sebagai usaha meringankan bebanan mereka terutama dalam aspek pemeriksaan kesihatan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds