YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kedai PKPP RTP Sungai Ular di perkarangan Kedai PKPP RTP Sungai Ular, Lipis.
KERAJAAN PAHANG FOKUS BANGUNKAN KAWASAN LUAR BANDAR
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUALA LIPIS, 14 MAC 2021 : Kerajaan Pahang komited membangunkan kawasan luar bandar termasuklah kawasan Dewan Negeri (DN) Jelai dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti bangunan perniagaan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan tersebut penting bagi membuka peluang pembangunan kepada penduduk terutama golongan peniaga untuk menjalankan aktiviti perniagaan sekali gus meningkatkan sektor ekonomi di kawasan terbabit.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat Kedai PKPP RTP Sungai Ular di Lipis.
“Bagi menggalakkan peningkatan ekonomi di kawasan RTP Sungai Ular ini, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menyediakan bangunan kedai empat pintu berjumlah RM472,000 yang diserahkan pada hari ini kepada peniaga-peniaga.
“Empat buah kedai ini adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan di kawasan sekitar dengan 50 peserta RTP Sungai Ular apabila pelbagai kedai akan dibuka seperti kedai makan, kedai runcit, kedai elektrik dan bengkel motosikal,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kedai PKPP RTP Sungai Ular di perkarangan Kedai PKPP RTP Sungai Ular, di sini, pagi tadi.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor; Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Dato’ Suhaimi Mohd Yunus.
Tambahnya, segala urusan penyewaan akan diuruskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) RTP Sungai Ular.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, En. Tajudin Yasin, 41, berkata, perniagaan kedai Nasi Ayam Pokdin merupakan pengalaman pertamanya selepas berhenti kerja di ladang pada tahun lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Selepas mengalami kemalangan dan kecederaan di bahagian kaki, saya tidak boleh melakukan kerja-kerja berat lagi, jadi saya bersama isteri membuat keputusan untuk mengusahakan kedai makan ini dan alhamdulilah mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui pada majlils sama.
Manakala pengusaha kedai runcit, En. Abdul Manaf Hussain, 72, pula berkata, beliau bersama anaknya mengusahakan kedai runcit bagi menyediakan kemudahan kepada penduduk setempat khususnya di RTP Sungai Ular yang jauh daripada bandar untuk mendapatkan kemudahan dan keperluan harian.
Bagi pengusaha barangan elektrik, En. Azman Abdullah, 38, pula berhasrat memanfaatkan pengalaman dan kemahirannya di dalam bidang elektrik bagi kebaikan masyarakat setempat.
“Saya berpengalaman dalam bidang elektrik dan berhasrat membuka kedai keperluan ini bagi membantu penduduk setempat yang sebelum ini menghadapi kesukaran kerana lokasi kampung yang sangat jauh dari bandar,” katanya. – PAHANGMEDIA