Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 12 MAC 2021: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan setakat sebuah gabungan politik, ia adalah formula terbaik yang membawa kepada kemakmuran masyarakat Malaysia sejak sekian lama.
BN terbukti sekian lama menyuluh semangat keamanan dan perpaduan serta mempunyai sejarah yang panjang menjaga keharmonian kaum yang berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Perkara tersebut dijelaskan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YH Dato’ Sri Hj Ab Hamid Nazahar ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir 2021 di Kampung Galing di sini hari ini.
Menurutnya lagi, perpaduan sebenarnya adalah hadiah tidak ternilai yang perlu dipelihara dan dihargai semua rakyat berbilang kaum.
“Lihatlah hari ini, penyampaian bantuan wang ihsan mangsa banjir ini pun menjadi bukti bagaimana Kerajaan (BN) Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail tidak sesekali meminggirkan lain-lain kaum apabila ramai mangsa banjir di kalangan bukan Melayu turut menerima sumbangan.
“Inilah Kerajaan BN Pahang, sebuah kerajaan yang adil dan berjiwa rakyat. Kerajaan BN Pahang tidak akan mengorbankan keharmonian antara kaum yang telah terbina sekian lama malah pelbagai usaha sering dilakukan agar rakyat Pahang yang terdiri dari berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam keadaan aman, makmur dan harmoni,” katanya.
Pada majlis ini, seramai 90 orang penduduk sekitar Kampung Galing yang terkesan akibat banjir baru-baru ini menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan dari Kerajaan Pahang. – PAHANGMEDIA