Antara kebakaran hutan yang berlaku di negeri ini

LEBIH 300 HEKTAR HUTAN TERBAKAR

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 11 MAC 2021: Lebih 300 hektar hutan tanah gambut di negeri ini terbakar dengan melibatkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.

Kebakaran yang berlaku sejak awal bulan bulan ini telah menyumbang kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat terutamanya di bahagian selatan negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, PKPjB Ir. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pemantauan udara telah dilakukan dan mendapati banyak kawasan panas atau ‘hotspot’ yang terbakar.

“Hasil pemantauan dari udara kita dapati kawasan paling terjejas adalah di Muadzam Shah, Rompin membabitkan 300 hektar; diikuti, di Kampung Alur Beruang (3 hektar) dan Kampung Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan dan Kampung Menchali dan Leban Chondong, Rompin masing-masing dua hektar.

“Jadi, anggota kita sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran, bagi mengelak api merebak kerana kawasan kebakaran itu berhampiran dengan ladang sawit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini, di sini.

Beliau berkata, pesawat digunakan bukan saja untuk membuat pemadaman dari udara, tetapi turut menghantar pasukan khas ke lokasi kejadian yang didapati sukar untuk dimasuki melalui jalan darat.

“Seramai 200 anggota terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran hutan di tiga daerah itu bukan sahaja membabitkan anggota daripada balai terdekat malah anggota dari balai daerah lain juga turut dihantar,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, pihaknya telah membuat sekatan api atau ‘fire break’ bersama Pejabat Hutan bagi mencegah kebakaran dari terus merebak.

Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung berlakukan kebakaran. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds