Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika Program Bicara Pahang di Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
KERAJAAN PAHANG CAKNA PERUMAHAN RAKYAT
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 11 MAC 2021: Kerajaan Pahang disifatkan sebagai kerajaan yang sangat prihatin terhadap isu dan keperluan rakyat khususnya mereka yang tidak berkemampuan dalam menyediakan perumahan yang selesa dan menepati kemampuan setiap golongan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi golongan tidak berkemampuan sebagai usaha membantu penerima menikmati rumah yang selesa.
“RRP ini bernilai RM65,000 bagi setiap unit dan apa yang istimewa adalah ia diberikan secara percuma kepada 98 penerima terpilih pada tahun 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.
“Pada tahun 2021 ini pula, sebanyak 102 unit rumah RRP ditawarkan kepada penerima baharu yang dipilih berdasarkan kelayakan,” katanya pada Program Bicara Pahang di Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.
Katanya, selain RRP kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai perumahan kepada rakyat berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dan Rumah Makmur.
Tambahnya, setiap perumahan menetapkan syarat-syarat tertentu bagi pemohon berdasarkan kelayakan kewangan masing-masing.
YB. Dato’ Abd Rahim berkata, kerajaan akan mengekalkan 30 peratus kuota Bumiputera bagi perumahan yang dibina oleh pemaju.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh Tabung Perumahan Rakyat Pahang di mana dana diperoleh daripada pihak tertentu dengan jumlah RM12 juta berjaya dikumpul dalam tempoh dua tahun manakala RM1 juta merupakan sumbangan daripada Kerajaan Pahang.
Menyentuh pengisytiharan Bentong sebagai bandaraya, YB. Dato’ Abd. Rahim berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyemak semula syarat kelayakan dengan mengambil kira beberapa lokasi pelancongan yang terletak di daerah Bentong. – PAHANGMEDIA