Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Assisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali melihat sebahagian daripada 48 individu yang ditahan menerusi Ops Sarang 1 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, hari ini.
48 INDIVIDU DITAHAN DALAM OPS SARANG 1
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 11 MAC 2021 : Seramai 48 individu berusia 18 hingga 36 tahun ditahan dalam satu serbuan Ops Sarang 1 tahun 2021 yang melibatkan beberapa lokasi di sekitar Bandar Kuantan, Gambang, Cherating dan Beserah, tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Assisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika ditemui pemberita pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Assisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, daripada jumlah itu, seramai 40 adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita berjaya ditahan dalam operasi yang berakhir jam 10 pagi tadi.
Beliau berkata, pasukannya telah melakukan risikan awal sebelum melancarkan Ops Sarang 1 bagi tahun 2021 dengan melibatkan seramai dua pegawai dan 18 anggota.
“Daripada 48 individu yang ditahan ini, pihak polis berjaya merampas beberapa barang yang disyaki dadah seperti syabu dan sebanyak 206 biji pil yaba di mana melibatkan Seksyen 39A (1 tangkapan), Seksyen 12(2) (12 tangkapan) manakala selebihnya di bawah Seksyen 15(1) di mana mengambil dadah atau memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.
Tuan Assisten Komisioner Mohamad Noor berkata, pasukan polis akan terus komited dalam menangani isu penyalahgunaan dadah ini meskipun dalam suasana COVID-19 kini.
Pihaknya juga akan meneruskan operasi dengan melancarkan Ops Sarang 2 dengan melibatkan pelbagai cawagan di bawah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuklah cawangan siasatan jenayah.
Tambahnya, kebanyakan individu yang ditangkap adalah daripada premis kediaman masing-masing yang kebanyakannya dipercayai disewa bersama rakan-rakan sama ada pelajar mahu pun sudah bekerja.
Justeru, beliau meminta agar pemilik rumah sewa agar lebih teliti dan berhati-hati untuk memilih penyewa rumah selain dapat mengambil tahu perilaku penyewa dan memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sekiranya mencurigakan. – PAHANGMEDIA