Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 11 Mac 2021: Kerajaan Pahang sentiasa memberi perhatian kepada golongan ibu tunggal yang memerlukan perhatian bagi meneruskan kehidupan terutamanya untuk membesarkan anak-anak.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, golongan ini tidak pernah dipinggirkan malah menjadi antara keutamaan dalam pengagihan bantuan dan sebagainya.

“Hari ini kita lihat nasib ibu tunggal terus dibela melalui sumbangan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan juga banjir besar yang dihulurkan oleh Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Pahang (TERATAI).
“Apa yang diharapkan ialah kita semua menjadi orang yang bersyukur, berterima kasih dan reda dengan ujian yang dilalui dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan wang tunai dan barangan asas kepada 35 orang ibu tunggal serta cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada pesakit strok, sekolah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Pada majlis sama, sebanyak RM5,000 diserahkan kepada setiap Dewan Negeri diwakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Turut hadir, Setiausaha Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Barisan Negeri Pahang (TERATAI), Datin Norziana Yusoff; Pegawai Khas Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Norazita Abdul Rahman serta Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Daerah Pekan, Dato’ Melati Ali.
Dalam pada itu, TERATAI memperuntukkan sejumlah RM5,000 untuk diagihkan kepada 25 buah Dewan Negeri di bawah Barisan Nasional di seluruh Pahang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM125,000.
TERATAI turut mengagihkan kit keselamatan COVID-19 untuk lima buah sekolah bagi setiap parlimen di negeri Pahang dengan jumlah keseluruhan 70 buah sekolah dengan nilai sumbangan sebanyak RM35,000. -PAHANGMEDIA