Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 10 MAC 2021 : Kerajaan Pahang akan memudahcarakan pemberian vaksin kepada 903 warga emas yang menjadi penghuni pusat jagaan warga emas di seluruh negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua warga emas ini akan diberikan keutamaan bagi suntikan vaksin COVID-19 dalam suntikan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Pahang pada April.
“Kita akan memberi suntikan ini kepada penghuni di pusat-pusat jagaan mereka tanpa mereka perlu hadir ke tempat suntikan disebabkan beberapa faktor.
“Kita memutuskan untuk memberi keutamaan kepada warga emas ini kerana mereka merupakan golongan yang akan menerima komplikasi yang teruk dan menyebabkan kematian sekiranya dijangkiti COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Program Bantuan Awal Persekolahan Bagi Murid Tahun 1 Sesi Persekolahan 2021 Kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi kesemua 903 warga emas ini merupakan pusat jagaan warga emas di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dan pondok yang dikendalikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
“Berdasarkan data JKM, seramai 728 penghuni warga emas direkodkan berada di 26 pusat jagaan warga emas dan 175 lagi merupakan penghuni di lapan buah pondok dibawah MUIP,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini Pahang merupakan negeri kedua selepas Sarawak yang telah berjaya selesai menjalankan suntikan bagi Fasa Pertama iaitu sebanyak 23,400 dos.
“Selepas shipment pertama ini, akan ada lagi lima shipments masih di bawah Fasa Pertama untuk frontliners.
“Dimana keenam-enam shipments ini berjumlah 64,350 dos untuk suntikan ke atas 32,175 frontliners di seluruh Pahang,” katanya.
Menurut beliau lagi, seramai 1.12 juta rakyat negeri ini disasarkan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut kumpulan sasar.
“Pada Fasa Pertama, suntikan imunisasi akan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan diikuti Fasa Dua membabitkan golongan warga emas,orang kurang upaya dan kumpulan berisiko yang menghidap penyakit kronik yang dianggarkan seramai 360,000 orang.
“Manakala pada Fasa Tiga membabitkan semua individu berumur 18 tahun ke atas seramai kira-kira 700,000 orang,” katanya.
Beliau juga turut meluangkan masa untuk melawat Pusat Operasi Vaksin Negeri Pahang di Blok C Bangunan Setiausaha Kerajaan Pahang bersama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak serta kepimpinan pasukan Task Force COVID-19 Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA