Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 10 MAC 2021 : Yayasan Pahang hari ini menyerahkan sumbangan pendidikan bernilai RM52 juta yang akan memberi manfaat kepada 61,721 orang anak-anak di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang sangat komited dalam memastikan anak-anak Pahang mendapat akses kepada pendidikan dalam pelbagai peringkat pengajian.
Menurutnya, bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada tahun 1983, Yayasan Pahang kini telah berjaya mendapatkan sumber pendapatannya sendiri untuk diagihkan kepada anak-anak negeri Pahang.
“Sehingga kini, Yayasan Pahang telah membelanjakan kira-kira RM1.34 billion, yang memberi manfaat kepada 1.7 juta anak-anak negeri dalam pelbagai peringkat pendidikan.

“Nilainya bukanlah calang-calang dan Kerajaan Negeri berharap, ianya benar-benar dimanfaatkan terutamanya kepada bakal penerima untuk tahun ini,” katanya pada majlis penyerahan replika cek yang diterima daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi di Wisma Sri Pahang, di sini.
Sementara itu mengulas lanjut berkenaan peruntukan tersebut, beliau berkata sebanyak RM18.8 juta disediakan untuk Biasiswa Sekolah Menengah melibatkan 31,751 orang penerima.
“Sebanyak RM6.3 juta untuk Biasiswa Sekolah Rendah melibatkan 21,002 orang penerima serta RM3.6 juta untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan.
“Di peringkat pengajian tinggi pula, RM 17.2 juta untuk pinjaman, melibatkan 2,633 orang penerima, RM3.1 juta untuk biasiswa melibatkan 335 orang penerima dan RM3 juta untuk Geran Awal Bantuan ke IPT melibatkan 6,000 orang penerima,” katanya.
Katanya lagi, setiap tahun biasiswa Yayasan Pahang menjadi penyumbang utama kepada bantuan pendidikan di negeri ini berbanding biasiswa tajaan pihak lain.
“Keistimewaan biasiswa ini pula ialah, permohonan hanya dibuat sekali dan akan berterusan sehingga tamat persekolahan dalam satu-satu peringkat pengajian tersebut.
“Selain itu, Yayasan Pahang turut membantu pelajar meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah melalui program akademik seperti Program Jawab Untuk Jaya (JUJ), Program intervensi Semua Subjek A (PiSSA), Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS) dan Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI),” katanya.
Selain itu katanya, program berimpak tinggi seperti Program Baca Cepat Kawanku dijalankan bagi membantu murid yang tidak boleh membaca pada awal tahun satu lagi serta program Peningkatan Pendidikan Khas bagi membantu Murid Berkeperluan Khas. -PAHANGMEDIA