YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengagihkan wang ihsan banjir kepada penduduk di Maran yang terjejas akibat bencana itu pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 Daerah Maran, di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul, Maran, hari ini.
18,726 TERIMA RM9.4 JUTA WANG IHSAN BANJIR
Oleh : Fansurina Abdullah Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
MARAN, 9 MAC 2021: Seramai 18,726 mangsa banjir di seluruh Pahang menerima bantuan wang ihsan banjir berjumlah RM9.4 juta yang mula diagihkan kepada penerima sejak dua minggu lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 90 peratus mangsa banjir telah menerima bantuan tersebut dan dijangka pengagihan bantuan akan dapat diselesaikan pada minggu ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 Daerah Maran, di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul, Maran, hari ini.
“Program ini merupakan janji Kerajaan Pahang kepada mangsa banjir yang terkesan di negeri ini bahawa mereka akan menerima bantuan berjumlah RM500.
“Bantuan ini diberikan kepada mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan juga mereka yang menumpang di rumah keluarga masing-masing ketika banjir dan bantuan ini kita panjangkan juga kepada peniaga dan kedai-kedai yang turut menerima nasib sama,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 Daerah Maran di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul, Maran.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 Daerah Maran, di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul, Maran, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor, YB. Ustaz Mujibur Rahman Ishak dan Pegawai Daerah Maran, Encik Sharuddin Jali.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) akan menggerakkan tenaga kerjanya bagi membantu rakyat mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
Katanya, ada sebilangan masyarakat yang tidak mahir dengan teknologi atau tidak mempunyai kemudahan dan pengetahuan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi atas talian seperti aplikasi MySejahtera serta memerlukan platform khas untuk mendaftar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2021 Daerah Maran, di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul, Maran, hari ini.
Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan sasaran penerima vaksin COVID-19 dapat dicapai.
“Bagi fasa pertama, 100 peratus sasaran telah tercapai apabila kesemua barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin masing-masing dan saya yakin fasa kedua dan ketiga juga akan berjalan dengan lancar,” katanya. -PAHANGMEDIA