YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Wang Ihsan Banjir kepada seorang penerima di Kampung Ubai hari ini.
KERAJAAN PAHANG SEDIA BINA TAMBAHAN RUMAH RAKYAT PAHANG (RRP)
Oleh : Fairus Mohd Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 MAC 2021: Kedudukan kewangan negeri yang kukuh pada tahun ini akan menentukan tambahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) diberikan kepada mereka yang layak.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 98 buah unit telah siap dibina pada tahun lepas dan pada tahun ini sebanyak 102 buah rumah RRP sedang dibina.
Antara penerima sumbangan Wang Ihsan Banjir yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
“Saya sedang mengkaji dan menilai implikasi kewangan negeri dan pada masa sama melihat rumah-rumah yang telah diluluskan tahun ini. Jika lihat pada data memang ramai yang memerlukan bantuan rumah ini.
“Jika prestasinya (bina rumah) baik dan tiada masalah, Kerajaan Negeri akan menambah lagi dua unit setiap Dewan Negeri. Berita baik ini InsyaAllah akan saya umumkan Julai nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan Banjir 2021 di dewan orang ramai Kampung Ubai, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif dan Pegawai Daerah Kuantan, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 2,542 orang Ketua Isi Rumah (KIR) menerima sumbangan wang ihsan banjir bagi daerah Kuantan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.2 juta.
“Sumbangan ini mungkin tidak banyak, tetapi saya percaya ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir. Selain sikap mengambil berat, Kerajaan Negeri mampu membuat sumbangan ini kerana kedudukan kewangannya yang stabil,” katanya.
Katanya lagi, sejak memegang jawatan sebagai Menteri Besar (sejak 15 Mei 2018), Belanjawan Negeri 2019 pertama kali yang dibentangkan pada 19 November 2018, hasil yang dianggarkan ialah RM 703.8 juta tetapi kutipan sebenar pada akhir tahun 2019 ialah RM 847.3 juta atau pencapaian 120 peratus.
“Belanjawan Negeri 2020 yang kedua kali dibentangkan pada 18 November 2019, hasil dianggarkan ialah RM744.02 juta tetapi kutipan sebenar pada akhir tahun lepas (2020) ialah RM 850.45 juta atau pencapaian 114.3 peratus.
“Belanjawan Negeri 2021 yang ketiga kali dibentangkan pada 16 November 2020, hasil dianggarkan ialah RM 800.798 juta. InsyaAllah, kutipan sebenar untuk tahun 2021 ini akan turut melepasi sasaran,” katanya. – PAHANGMEDIA