KUANTAN, 5 MAC 2021: Digitalisasi Kerajaan atau Kerajaan Digital merupakan satu tranformasi penyampaian perkhidmatan awam di mana penyampaian maklumat dan perkhidmatan dilaksanakan dalam talian melalui internet atau kaedah digital.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, objektif utama pelaksanaan digitalisasi dalam sistem kerajaan ini adalah untuk meningkatkan akses dan penyampaian maklumat dalam perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai, agensi lain serta entiti kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan, kecekapan, kualiti perkhidmatan dalam operasi sistem pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, kepentingan digital dalam pengurusan pentadbiran kerajaan negeri adalah sangat penting, tambahan pula pandemik COVID-19 telah merubah landskap pentadbiran dan proses pendigitalan urusniaga perlu menjadi norma baharu perniagaan dan transaksi harian.
“Sehubungan dengan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang menganjurkan Seminar Peningkatan Penyampaian Perkhidmatan Awam Negeri Pahang dan Pelancaran Pahang Produktif yang dilaksanakan secara maya menggunakan platform Webinar.
“Antara objektif seminar berkenaan adalah para peserta program akan mendapat input seperti meningkatkan dan memperkasakan pembudayaan produktiviti dan inovasi melalui digitalisasi dalam penyampaian perkhidmatan, menerangkan inisiatif berkaitan digitalisasi kerajaan yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam Negeri Pahang dan Persekutuan bagi membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cekap dan berkesan serta meningkatkan kefahaman berkaitan reformasi peraturan dalam penyampaian perkhidmatan sektor awam Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian program itu secara maya menerusi platform Webina, di sini semalam.
Beliau berkata, inisiatif Pahang Produktif merupakan satu misi Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama MPC untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai sebuah negeri yang membangun secara produktif bagi meningkatkan lagi potensi Pahang sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan di Pantai Timur.
Menurutnya, melalui kerjasama pihak MPC, antara inisiatif di bawah Program Pahang Produktif ialah Malaysia Mudah atau #mymudah yang bermatlamat untuk membantu syarikat dan peniaga korporat dari dibebani peraturan tidak perlu dan karenah birokrasi serta mengurangkan kos perniagaan.
“Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri akan dapat mengurangkan peraturan tidak perlu serta meningkatkan kecekapan perfungsian dan operasi,” katanya.
Beliau juga berkata, sebagai pembuat dasar dan pengawal selia peraturan, peranan penjawat awam Negeri Pahang sangat penting untuk menjadi perintis perubahan dan sentiasa membuat penambahbaikan agar penyampaian perkhidmatan lebih cekap dan berkesan.
Beliau dimaklumkan bahawa jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dengan MPC telah bermula pada tahun sebelumnya lagi dalam membantu program-program peningkatan produktiviti sektor awam dan swasta di negeri ini.
Menurutnya, selain MyMudah, program lain yang akan diperkenalkan ialah Behavioural Insight (BI) yang merupakan salah satu alat polisi yang inovatif bertujuan meningkatkan keberkesanan intervensi kerajaan.
“BI mengambilkira pelbagai disiplin ilmu seperti sains tingkah laku dan sosial termasuk membuat keputusan, psikologi, sains kognitif dan neurosains supaya polisi yang digubal lebih berkesan dan mencapai kadar pematuhan yang tinggi,
“Saya difahamkan satu projek telah dikenal pasti akan dijalankan bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebagai projek rintis menggunakan kaedah ini,” katanya.
Sebanyak empat pembentangan kertas kerja dibentangkan pada seminar tersebut di mana kertas kerja pertama disampaikan oleh Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Encik Mohd Azwan Mohd Salleh bertajuk ‘Peningkatan Produktiviti Sektor Awam Melalui Reformasi Peraturan’.
Bagi kertas kerja kedua pula bertajuk ‘Penyampaian Perkhidmatan Melalui Kerajaan Digital’ yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kerajaan Digital, Unit Pemodenan Tadbir Dan Perancang Pengurusan Malaysia (MAMPU), Dr Fazidah Abu Bakar.
Kertas kerja ketiga disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pengurusan Mahklumat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Encik Muhamad Azwal Ab Aziz bertajuk ‘Inisiatif Digital’.
Kertas kerja keempat pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, Encik Affandi Isa dengan tajuk ‘Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Mengaplikasikan Digitalisasi Dalam Penyampaian Perkhidmatan’.
Pada seminar itu juga MPC turut menganugerahkan Produktiviti Champion Pantai Timur kepada Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak serta Bekas Pengarah Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang, Dato’ Idros Yahya.-PAHANGMEDIA