Sebanyak lima tan ikan segar diedarkan kepada 2,345 keluarga yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kawasan tanah rancangan di Daerah Maran semalam.

LIMA TAN IKAN SEGAR DIEDARKAN KEPADA PENDUDUK DI KAWASAN PKPD

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 5 MAC 2021: Sebanyak lima tan ikan segar diedarkan kepada 2,345 keluarga yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kawasan tanah rancangan di Daerah Maran semalam.

Ia adalah sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul.

YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, sumbangan ikan segar berkenaan diedarkan kepada penduduk yang sedang menjalani PKPD di FELDA Jengka 2, FELDA Ulu Jempol, FELDA Jengka 7 dan FELDA Jengka 1.

“Pagi tadi (semalam), jam 9.30 pagi lima tan ikan segar dari Kedah mendarat di Pusat Khidmat saya di Jengka 3.

“Anak-anak buah di Jengka 3, Jengka 4 dan Jengka 5 yang tidak terlibat dengan PKPD berganding bahu membuat pengasingan ikan, membungkus dan hantar ke lokasi-lokasi PKPD,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Katanya lagi, beliau sempat menyertai penghantaran ikan segar berkenaan ke FELDA Jengka 2 dan FELDA Ulu Jempol manakala di FELDA Jengka 7 diserahkan kepada Ahli Dewan Negeri Chenor.

“Sesungguhnya saya bertuah kerana komitmen anak buah dikawasan pada tahap terbaik. Semuanya membantu melicinkan keseluruhan sumbangan yang saya namakan Projek Ikan Kasih Sayang ini.

“Begitulah kami di kawasan, sentiasa berkasih sayang menjaga DUN Kuala Sentul Di Hati. Mereka juga banyak memberi saya semangat kepada saya selaku Ketua UMNO Maran,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download