KUANTAN, 2 MAC 2021: Badan Perhubungan UMNO Negeri akan terus komited dan konsisten dalam mengukuhkan lagi persepakatannya dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau secara konsisten menyebut betapa ia merupakan persepakatan terbaik demi menyaksikan kesinambungan dan kestabilan Kerajaan yang ada pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) sekarang, serta Kerajaan Negeri tempoh pasca PRU-15 kelak.
“Persepakatan sebeginilah yang dituntut bukan sahaja oleh ahli-ahli kedua-dua parti UMNO dan PAS, malah turut diterima baik serta dituntut juga oleh rakyat negeri ini.
“Sejarah juga membuktikan, di sebalik jatuhnya Kerajaan Pusat pimpinan BN pada PRU-14 lepas namun di Pahang (selain di Perlis), BN yang ditunjangi UMNO, terus menerus mendapat mandat rakyat untuk memerintah tanpa henti selama lebih 60 tahun kini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.
Beliau berkata, dengan kekuatan yang ada pada BN Negeri yang UMNO tunjangi, dan diperkukuhkan lagi dengan penyertaan PAS dalam MN Negeri beliau yakin perjuangan menghadapi PRU-15 akan membuahkan hasil yang lebih daripada disasarkan.
“Oleh itulah saya berharap, kita sama-sama perkukuhkan persepakatan kita ini yang tentunya bersandarkan atas faktor kejujuran dan setiakawan sejati, demi menyaksikan bangsa, agama dan bumi Pahang kita terus terpelihara,” katanya
Malam semalam beliau mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi MN Pahang yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, YB Andansura Rabu.
Mereka yang turut mewakili PAS pada pertemuan itu ialah Ketua Penerangan, YB Ustaz Tarmizi Yahya, Setiausaha Badan Perhubungan, Encik Hasanuddin Salleh dan Pengarah Pilihanraya, Encik Hamdan Abdullah.
Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, YB Dato’ Sri Hassan Ariffin, Bendahari, YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Ketua Penerangan, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha, YBhg Dato’ Sri Abdul Hamid Nazahar.
Pertemuan itu turut membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan gerak-atur kerja bersama bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak. – PAHANGMEDIA