Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 2 MAC 2021: Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh seorang warga emas di Kampung Lompat di sini hanya ucapan terima kasih apabila menerima sumbangan bantuan rumah pasca banjir daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Ramlah Hitam, 81, ketika ditemui menyifatkan kesudian Tuanku Yang di-Pertuan Agong bercemar duli mengunjunginya adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.
“Saya sangat terharu dengan keprihatinan ditunjukkan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong dan kurniaan Baginda ini sangat melegakan saya.
“Ini adalah kali kedua rumah saya mengalami kerosakan akibat banjir… Sebelum ini pada tahun 2014, kediaman ini turut mengalami kerosakan tapi tidaklah seteruk banjir awal tahun ini.
“Banyak barangan kelengkapan rumah yang rosak akibat paras air naik dengan cepat.. saya menjunjung kasih atas kurniaan Baginda ini dan berharap ia dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli melawat ke tapak pembinaan tiga rumah baharu masing-masing di Kampung Lompat, Kampung Sungai Dingin dan Kampung Pengkalan Manggis di sini.
Baginda tuanku turut diiringi dua anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Kos pembinaan ketiga-tiga rumah berkenaan adalah sumbangan Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara.
Sementara itu, seorang lagi penerima di Kampung Pengkalan Manggis, di sini, Mohd Izzuddin Shamzudin, 32, berkata kurniaan Tuanku Yang di-Pertuan Agong ini ibarat rezeki yang tidak disangka-sangka selepas rumahnya rosak sepenuhnya akibat banjir.
“Saya hanya mohon untuk baiki rumah papan yang ditenggelami air separas pinggang ketika banjir awal tahun ini tetapi dapat sebuah rumah baharu… buat masa sekarang kami tinggal di rumah abang di Temerloh Jaya 2.
“Alhamdulillah, ini rezeki mak dan keluarga kami, junjung kasih kepada baginda yang prihatin dengan nasib rakyat terkesan akibat bencana ini, saya amat terharu,” katanya. – PAHANGMEDIA