Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 01 MAC 2021 : Seorang pekerja kilang maut setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki dibawah pengaruh alkohol di Jalan Sungai Lembing, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian kira-kira 1.10 pagi itu menyebabkan Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motorsikal dari arah bandar Kuantan menghala ke Kampung Padang dilanggar dari arah belakang oleh pemandu kereta jenis Toyota Avanza.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 terjatuh di tengah jalan manakala motosikalnya tersangkut di bahagian hadapan kenderaan dan diseret oleh kereta tersebut sejauh kira-kira 1.5 kilometer sehingga sampai ke hadapan rumah suspek di Kampung Padang,” katanya ketika sidang media di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian kandungan alkohol suspek yang tidak bekerja ini juga menunjukkan ia melebihi had yang dibenarkan ketika memandu.
“Kita juga mendapati suspek yang berusia 26 tahun juga mempunyai lima saman lampau dan kenderaan yang dipandu suspek juga memiliki lima saman yang masih belum dijelaskan.
“Suspek kini direman sehingga 4 Mac ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.
“Bedah siasat mangsa akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. -PAHANGMEDIA