YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima suntikan vaksin COVID-19 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 1, hari ini.
HENTI SEGERA PERLOMBONGAN EMAS HARAM DI LIPIS – MB
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2021: Pelombong emas haram di Lipis diminta untuk menghentikan kerja-kerja perlombongan dengan segera kerana ia menyalahi undang-undang dan mereka boleh dikenakan tindakan denda yang sangat tinggi.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, walaupun perlombongan berkenaan dilakukan di atas tanah sendiri, namun individu yang terlibat masih perlu memohon permit daripada pihak berwajib.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
“Walaupun penemuan emas berkenaan di tanah sendiri tetapi untuk melaksanakan perlombongan mesti mendapat kebenaran daripada Kerajaan Negeri.
“Kita tak mahu perkara ini berlaku secara berleluasa, sebab itu kita sedang memikirkan cara untuk menghalalkan mereka-mereka yang melombong emas secara kecil-kecilan ini,” katanya ketika sidang media selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi mereka yang melombong emas secara haram ini, pihak Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan termasuk menyita jentera berat yang digunakan.
“Saya menyeru kepada mereka supaya menghentikan kerja-kerja melombong ini kerana jika ditangkap boleh dikenakan denda yang sangat tinggi.
“Kerajaan Negeri sentiasa memantau rapat aktiviti melombong ini sebab itu kita ada Unit Penguatkuasan yang telah Kerajaan Negeri tubuhkan. Sudah banyak kita buat sitaan tetapi masih adalah lagi yang degil meneruskan kerja-kerja haram ini,” katanya.
Pihak berwajib turut menyita jentara berat milik pelombong emas haram.
Dalam pada itu, beliau meminta pelombong kecil-kecilan ini membuat pemohonan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk melombong emas di tanah milik mereka.
“Kita juga telah meminta Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC) untuk mengawal dan menyelia lombong-lombong ini supaya lebih teratur dan tersusun,” katanya. – PAHANGMEDIA