Oleh: Muhammad Shahrinnahar Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 FEBRUARI 2021: Kerajaan Pahang menerima sumbangan 10,000 naskhah al-Quran daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Iman Care untuk diagihkan kepada orang ramai dan institusi yang terjejas dengan banjir awal bulan ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Encik Andansura Rabu yang mewakili NGO berkenaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.
Sementara itu, YB Encik Andansura berkata, sumbangan ini adalah bagi membantu menggantikan banyak al-Quran yang rosak di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

“Hari ini kita buat penyerahan 10,000 naskhah al-Quran kepada Negeri Pahang yang disumbangkan oleh NGO Iman Care yang diselaraskan oleh Pusat Khidmat Dewan Negeri Beserah.
“Ada lima daerah didapati teruk dilanda banjir dan sebahagian daripadanya menyebabkan al-Quran di institusi pengajian dan rumah sendirian rosak.
“Jadi NGO ini mengambil inisiatif untuk menggantikan al-Quran yang rosak dengan memberi naskhah yang baru kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berkenaan semalam.
Beliau berkata, al-Quran ini diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada lima daerah yang terjejas teruk dengan banjir iaitu Pekan, Maran, Raub, Lipis dan Temerloh. – PAHANGMEDIA