Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Osman

PERKUKUH INSTITUSI AGAMA BENTUK NILAI PEMBANGUNAN

Oleh : Fansurina Abdullah
 
PEKAN, 24 FEBRUARI 2021 : Masyarakat khususnya umat Islam perlu mengukuhkan institusi keagamaan seperti masjid dan surau dalam usaha membentuk nilai-nilai pembangunan di dalam sesebuah komuniti.
 
Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Osman berkata, peranan ahli kariah di masjid dan surau adalah sangat penting dalam menyantuni golongan muda yang berhasrat untuk mengimarahkan masjid dengan bersolat jemaah.
 
“Kariah harus bijak melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi menarik golongan muda ini.
 
“Namun jika ada golongan terbabit dengan sukarela berjemaah di masjid atau surau, ahli kariah perlulah menunjukkan contoh terbaik dalam menyantuni mereka tanpa mengira latar belakang mahu pun pakaian yang dikenakan selagi menutup aurat,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di pejabatnya, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, usaha mengimarahkan institusi keagamaan sebagai pusat pembangunan bagi sesebuah komuniti perlu diperhalusi pelbagai pihak sebagai mencontohi Rasulullah SAW yang mengutamakan pembinaan masjid ketika membangunkan sesebuah tamadun.
 
Katanya, masjid atau surau perlu menjadi pusat pertemuan dan perbincangan bagi pembangunan komuniti dan masyarakat secara menyeluruh dan tidak terhad kepada upacara keagamaan semata-mata.
 
Justeru, kehadiran golongan muda untuk menyertai pelbagai program ibadah dan pembangunan masyarakat adalah sangat dialu-alukan demi merintis kemajuan seimbang dari segi rohani dan jasmani.
 
Beliau turut menasihati agar ahli kariah masjid atau surau agar lebih terbuka dan bersikap terbuka dalam menerima sesiapa sahaja jemaah yang hadir ke pusat ibadah tersebut. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds