Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 FEBRUARI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menjadi individu pertama di negeri ini yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Jumaat ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau akan bersama 100 orang petugas barisan hadapan akan menerima vaksin ini pada Jumaat ini pada jam 3 petang.

“Saya sendiri akan mengambil suntikan pertama bersama dengan ‘frontliner’ yang lain. Saya difahamkan Pahang adalah negeri kedua yang menerima suntikan selepas Kuala Lumpur.

“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang telah menghantar vaksin di Pahang hari ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima ketibaan vaksin jenis Pfizer di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, YBhg. Encik Zairasyahli Shah Zakaria.
Beliau berkata, penghantaran pertama daripada enam penghantaran di bawah Fasa satu Program Vaksinasi bagi COVID-19 untuk ‘frontliners’ di Pahang.

“Penghantaran pertama ini melibatkan penghantaran sebanyak 23,400 dos ke lima pusat meliputi HTAA sebanyak 9,360 dos, Hospital Lipis, Kuala Lipis (4,680 dos), Hospital Temerloh (4,680 dos), Hospital Rompin (3,510 dos), Hospital Bentong (1,170 dos).

“Kesemua 23,400 dos ini akan melibatkan suntikan yang bakal diberi kepada 11,700 petugas barisan hadapan. Setiap seorang ‘frontliner’ akan menerima dua dos dengan jarak masa 21 hari atau tiga minggu selepas suntikan dos pertama.

“Selepas penghantaran pertama ini, akan ada lagi lima lagi penghantaran di bawah fasa satu untuk ‘frontliners’. Kesemua ini melibatkan sebanyak 64,350 dos untuk suntikan ke atas 32,175 petugas di seluruh Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA