Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 09 OKTOBER 2020: Anak sulung mangsa kemalangan maut di Kilometer 34, Jalan Kuantan-Kemaman, Selasa lalu berhasrat untuk menyambung pengajiannya yang terpaksa dilupakan sebelum ini.
Muhammad Fakrul Razi Abdul Rahim, 18, melahirkan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang teknologi elektrik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gebeng.
“Memang saya ada niat nak sambung belajar lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dulu, tapi tak mampu. Lagi pun saya terpaksa jaga adik, nak hantar ambil adik ke sekolah.
“Saya kalau boleh nak sambung belajar dekat dengan rumah, dekat Gebeng. Senang saya nak uruskan adik kalau dekat, lagi pun mak ada pesan untuk saya jaga adik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sekepas menerima menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang yang diwakili Timbalan Pengarahnya, Encik Hamzi Hanifa Mahyuddin di rumah mereka di Kampung Sungai Baging di sini hari ini.
Muhammad Fakrul Razi dan adiknya, Nur Fatiha Ainna Abdullah, 7, kehilangan ibu mereka, Siti Rohani Sapeai @ Shafie, 38, yang meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng.
Sebelum ini beberapa gambar di lokasi kejadian termasuklah satu gambar yang memaparkan dua beradik itu sedang berpelukan menangisi pemergian ibu mereka turut tular di Facebook.
Dalam pada itu, Muhammad Fakrul Razi berkata, dia kini tidak bekerja selepas diberhentikan kerja dua bulan lepas.
“Lepas SPM, saya kerja di ladang rumput makanan kuda sebelah sekolah adik di SK Sungai Baging tapi sekarang dah dua bulan tidak kerja sebab ladang kurangkan pekerja,” katanya.
Sementara itu, nenek kepada dua beradik itu, Puan Ramlah Yusof, 61, melahirkan rasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan pihak PERKESO.
“Rasa syukur dengan bantuan ini. Dapatlah bantu sedikit sebanyak perbelanjaan untuk anak-anak arwah,” katanya yang merupakan ibu tunggal dan bekerja sebagai pengasuh sebagai sumber pendapatan. – PAHANGMEDIA
376 total views