AMIL ZAKAT DIBENARKAN, TETAPI MENGIKUT SOP DITETAPKAN

KUANTAN, 15 MEI 2020: Umat Islam di negeri ini boleh membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bermula dengan segera.

MUIP dalam satu kenyataan media di laman Facebook rasminya berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua MUIP telah memperkenankan kutipan zakat fitrah melalui amil yang dilantik oleh MUIP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut kenyataan itu lagi, kaedah ini dilaksanakan dengan segera berpandukan SOP dengan mengambil kira keadaan semasa bagi kemudahan umat Islam di negeri ini.

“Perkenan atas perkara ini setelah mendapat nasihat serta diperhalusi oleh Majlis Tindakan Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan SOP norma baharu kutipan zakat fitrah menerusi amil yang dilantik/kaunter ketika dalam tempoh PKPB berlangsung dibenarkan.

“Justeru itu, umat Islam di negeri ini hendaklah membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik oleh MUIP. Sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada tiga ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, amil dan umat Islam yang hendak menunaikan zakat fitrah perlulah memastikan mematuhi garis panduan yang telah disediakan.

“Di Masjid Negeri, Masjid Daerah dan Masjid Kariah mesti bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan kaunter tidak diadakan di dalam ruangan solat.

“Di rumah amil fitrah pula, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan tiada kaunter di dalam rumah. Amil fitrah di agensi pula bergantung kepada agensi yang berkenaan.

“Yang terakhir adalah di pejabat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) di ibu pejabat dan daerah adalah bermula jam 9 pagi hingga 3 petang,” kata kenyataan itu.

Katanya lagi, bagaimanapun, umat Islam di negeri Pahang adalah digalakkan menunaikan zakat fitrah secara atas talian untuk memudahkan proses pembayaran dalam tempoh PKPB ini yang telah disediakan iaitu ezakat.muip.gov.my, aplikasi Boost, SnapNPay dan PahangGo. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download