Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad.

AMBIL IKTIBAR PERISTIWA MAULIDUR RASUL DALAM KEPIMPINAN

Oleh: Fansurina Abdullah

TEMERLOH, 28 OKTOBER 2020: Umat Islam di negeri ini diseru supaya menghayati dan mengambil iktibar daripada kisah pemimpin teragung, Nabi Muhammad SAW terutamanya dalam menjalani kehidupan demi kesejahteraan di dunia serta akhirat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Rasulullah SAW merupakan contoh pemimpin yang sempurna bukan sahaja di dalam pentadbiran malah sebagai ketua agama yang memenuhi keperluan semua zaman sehingga kini.

Justeru YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, segala ajaran dan sunnah yang diamalkan adalah relevan serta masih sesuai diguna pakai sehingga ke akhir zaman.

“Kedatangan Rasulullah SAW sebenarnya menjadi pengubat kepada segala penyakit zahir dan batin,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika rakaman Program Indahnya Islam Khas Maulidur Rasul, di Kampung Dato Shariff Ahmad, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pelbagai kisah agung yang dikaitkan dengan Baginda yang boleh dijadikan contoh tauladan terutamanya di dalam corak kepimpinan politik Baginda yang adil dan saksama.

“Kegagalan sistem politik pada hari ini juga adalah kerana kegagalan kita meneliti pendidikan sunnah Rasulullah SAW yang boleh dijadikan panduan dan pengajaran.

“Malah pada zaman Baginda juga, semua Khalifah dan sahabat telah dididik dengan corak kepimpinan berasaskan Islam dan tidak wujud perebutan kuasa kerana masing-masing faham tentang tanggungjawab sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau berharap, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dapat memberikan banyak pengajaran di dalam semua aspek kehidupan agar dijadikan panduan berguna untuk berhadapan segala kesukaran sama ada ketika mengawal wabak COVID-19 dan juga ketidakstabilan politik yang sedang melanda negara kini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: