AMANI VANILA TEMERLOH TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim

TEMERLOH, 26 FEBRUARI 2020: Jika sebut sahaja vanila pasti ramai yang beranggapan tanaman ini berasal daripada luar negara, namun siapa sangka seorang pemuda di Kampung Bangau Parit di sini mampu mengusahakan tanaman berkenaan di kebunnya.

Malah kini M. Feisal Mohamad Norawi, 38, mampu berbangga apabila produk vanila miliknya sudah dieksport ke beberapa negara di Asia Barat, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom (UK) dan Jerman.

M. Feisal berkata, penglibatannya dalam tanaman Vanila bermula sejak tahun 2008 dan mula serius mengusahakannya kira-kira lima tahun lalu.

Menggunakan benih jenis Planifolia yang ditanam di tanah berkeluasan 1.6 hektar milik keluarganya, bekas wartawan akhbar itu kini tidak menang tangan menerima tempahan pembeli.

M. Feisal Mohamad Norawi, 38, menunjukkan tanaman vanila kepada pengunjung luar yang datang ke kebunnya di Temerloh.

Bercerita mengenai pengalaman sepanjang terlibat dengan tanaman ini, beliau hanya bergantung pada maklumat diperoleh menerusi internet pada awalnya berikutan ia belum ditanam secara meluas di negara ini.

“Saya hampir berputus asa apabila 800 benih pokok ditanam tidak mengeluarkan hasil selepas beberapa tahun sebelum pada sekitar Mac 2012, saya terkejut apabila melihat beberapa pokok mengeluarkan bunga.

“Saya kemudiannya melakukan proses pencantuman bagi mengelakkan bunga berkenaan mati. Ini kerana bunganya hanya mekar dalam tempoh satu hari, proses pencantuman perlu dilakukan sebelum jam 12 tengah hari dan hasilnya sama ada berjaya atau tidak boleh dilihat pada keesokan harinya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut pemilik jenama Amani Vanila Temerloh ini, jika pencantuman berjaya dilakukan, tempoh selama lapan bulan diambil untuk menjadi buah sebelum boleh dituai.

M. Feisal Mohamad Norawi, 38, di hadapan kebunnya di Temerloh.

“Selepas itu, buah berkenaan akan melalui proses pengeringan pada cuaca panas selama satu bulan sebelum boleh dijual,” katanya.

Katanya, mahu menjadikan negeri Pahang sebagai hub pengeluar Vanila terbesar di Malaysia, bapa kepada tiga orang anak ini tidak lagi menoleh ke belakang selepas hasil usaha sejak 12 tahun lalu kini mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Saya kini memiliki 1,500 pokok yang ditanam secara konvensional dan 160 pokok yang ditanam secara moden iaitu dalam rumah teduh (shade house) dan kini sedang dalam perancangan untuk menanam 4,000 pokok secara konvensional dan 700 pokok secara moden.

“Pada masa ini, di atas tapak kebun yang diusahakan juga terdapat sebuah galeri bagi tujuan pendidikan dan kafe yang menyediakan produk-produk kampung berasaskan vanila yang ditanam sendiri sedang giat dibina dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada bulan Mac ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: