ALLAHYARHAM YB. DATO’ SRI ABU BAKAR IKON MASYARAKAT PENEROKA

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
 
KUANTAN, 7 MEI 2020: Allahyarham Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun boleh dianggap sebagai ikon masyarakat peneroka yang telah mencapai kejayaan yang membanggakan.
 
Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkata, Allahyarham yang juga bekas peneroka telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan.
 
“Saya bagi pihak UMNO Bahagian Pekan mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Beliau sebagai wakil rakyat telah jalankan kerja-kerjanya dengan begitu cemerlang sekali,” katanya dalam satu rakaman video di laman Facebook miliknya hari ini.
 
Sebelum itu beliau turut menziarahi Allahyarham di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Ibu Negara.
YB. Dato’ Sri Mohd Najib berkata, beliau juga telah kehilangan seorang rakan yang akrab yang banyak memberi sokongan kepadanya secara peribadi dan di dalam politik.
 
“Saya amat terasa kehilangan Allahyarham. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka beriman,” katanya.
 
Allahyarham YB. Dato’ Sri Abu Bakar dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi di HKL dipercayai akibat serangan jantung.
Untuk rekod, Allahyarham menjadi ADN Chini di dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU-11).
 
Pada PRU-14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.
 
Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).- PAHANGMEDIA
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download