Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menghadiri upacara pengebumian Ahli Dewan Negeri Chini, Allahyarham Dato' Sri Abu Bakar Harun di Tanah Perkuburan Islam Chini, Pekan hari ini.

ALLAHYARHAM SANGAT KUAT BEKERJA UNTUK RAKYAT – MB PAHANG

Oleh: FAIRUS MOHD
Foto: Mahathir Ali & Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 7 MEI 2020: Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengganggap Allahyarham Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun seorang yang kuat bekerja terutamanya ketika berkhidmat kepada rakyat di kawasan beliau.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Allahyarham yang mula menjadi ADN pada 2004 menjalankan tugas dengan begitu baik dan sering balik ke kawasan untuk bertemu rakyat.

“Kami ini seangkatan bertanding dalam pilihanraya pada 2004… Jadi ADN bersama. Memang beliau seorang rakan yang sangat kuat bekerja.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Pemergian beliau ini adalah satu kehilangan yang sangat besar kepada Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Chini dekat sini.

Beliau berkata, sehingga saat terakhir Allahyarham tidak pernah putus untuk balik ke kawasan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Saya memang banyak kenangan dengan Allahyarham, walaupun beliau tidak banyak bercakap, tetapi sesekali beliau menyatakan pendapatan dan berjenaka, sangat menyentuh hati.

“Terutamanya apabila beliau ketawa ada cara tersendiri. Itu antara yang tidak boleh saya lupakan. Sebab itu saya rasa sangat sedih dengan pemergian Allahyarham ini dan saya mendoakan supaya beliau ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” katanya.

Gambar kenangan antara Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Ahli Dewan Negeri Chini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun.

Katanya lagi, kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham adalah kira-kira tiga minggu lalu dalam satu mensyuarat GLC, namun ketika itu Allahyarham tidak banyak bercakap.

“Beliau hanya banyak tersenyum. Selepas habis mesyuarat Allahyarham menyatakan mahu pulang segera ke kawasan untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error