Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bergambar bersama keluarga Ahmad Eizar Shaharuddin.

“ALLAH SWT MAKBULKAN HASRAT SAYA BERTEMU KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG”

Oleh : Fansurina Abdullah

KUALA LIPIS, 8 JANUARI 2021: “Saya tidak menyangka Allah SWT memakbulkan hasrat saya untuk bertemu dengan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Tuanku sangat peramah dan berpegang kepada janjinya untuk bergambar bersama saya serta keluarga.”

Itu ungkapan Ahmad Eizar Shaharuddin, 45, apabila video beliau bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenan bercemar duli menziarah mangsa banjir di Kampung Binjai, di sini tular di media sosial.

Katanya, beliau sendiri tidak menyangka video tersebut akan tular dan mendapat tontonan lebih 23,000 dan menyifatkan video tersebut merupakan tindakan spontan beliau bersama Seri Paduka kerana tidak menyangka Baginda Tuanku sudi bergambar bersama dia dan keluarga.

Beliau berkata, isterinya, Nur Jamilah Ahmad 39, yang berasal dari Kampung Binjai turut menyimpan hasrat untuk memasak bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj terutama ketika musim banjir seperti sekarang.

Dalam video berkenaan, kelihatan Ahmad Eizar dan isteri, Nur Jamilah bersama tiga anaknya, Aishah Ahmad Eizar, 11, Khadijah Ahmad Eizar, 9, dan Fatimah Ahmad Eizar, 8 bergambar bersama Seri Paduka.

Baginda Tuanku sebelum itu berangkat menziarah nenek Ahmad Eizar, Yam Mat yang berusia 105 tahun dan menghidap sakit tua.

Ahmad Eizar yang berasal dari Kuantan pulang ke Lipis bersama keluarganya pada 31 Disember lalu namun terkandas di Kampung Binjai.

Beliau pulang ke kampung kerana menghadiri majlis perkahwinan saudaranya sebelum keadaan banjir bertambah buruk di Daerah Lipis yang menenggelamkan jambatan yang menjadi laluan kepada penduduk kampung itu pada 2 Januari lalu.

Beliau berharap kenangan manis bersama Baginda Tuanku akan menjadi saat terindah beliau bersama keluarga meski pun terkandas akibat banjir besar yang melanda seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 2,988 total views,  18 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download