Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

AGONG BERI PELUANG KETUA PARTI POLITIK KEMUKAKAN CALON PM

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menerusi satu kenyataan media pada hari ini memberi peluang kepada ketua-ketua pemimpin parti politik supaya mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, YH. Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, berdasarkan proses temubual baginda dengan ahli-ahli Parlimen yang diadakan baru-baru ini, baginda masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh YB Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

“Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,” katanya.

Dato’ Ahmad Fadil juga berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara serta semua pihak yang terlibat dalam proses temubual bersama ahli Parlimen yang berlangsung di Istana Negara selama dua hari bermula 25 Februari lalu. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: