KUANTAN, 07 MEI 2020 : Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah memaklumkan mengenai pemergian Allahyarham dalam status di Facebook rasmi beliau hari ini.
“Mendapat perkhabaran sedih pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan, YB. Dato’ Sri Abu Bakar bin Harun (Ahli Dewan Negeri Chini) yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini.
“Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Salam takziah kepada pihak keluarga, semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya menerusi status yang dimuat naik itu.
Untuk rekod, Allahyarham menjadi ADN Chini di dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU-11).
Pada PRU-14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.
Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob.- PAHANGMEDIA