ADAKAH SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA BAKAL BERKUBUR?

Oleh: YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail

Pada mulanya, 2020 dijangkakan merupakan tahun yang akan melonjakkan aktiviti pelancongan negara ini dengan sasaran kemasukan pelancong dan pengunjung dari luar negara, melalui pelbagai inisiatif dan program-program promosi yang telah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Tetapi sayangnya, segala perancangan dan program promosi ini telah terhenti apabila Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac 2020 yang berlanjutan selama tiga (3) bulan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dirasmikan secara besar-besaran dengan sasaran untuk menarik lebih 36 juta pelancong antarabangsa, kini musnah disebabkan keadaan seluruh dunia yang sedang berjaga-jaga untuk mengawal penularan wabak ini.

Negara kita mengalami kerugian besar, kerana melalui kempen ini dijangkakan, kita akan mendapat keuntungan sehingga RM168 bilion!

Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP) 2020 – usaha Kerajaan Malaysia untuk melonjakkan lagi industri pelancongan negara juga terpaksa dihentikan sehingga mengakibatkan kesan amat negatif kepada semua sektor berkaitan industri pelancongan seperti perhotelan, makanan & minuman (F&B), pelancongan kesihatan, pengangkutan, pembinaan, hiburan, kewangan dan juga pelancongan agrikultur.

Ini juga secara langsung menyebabkan kerencatan dalam sektor pekerjaan bagi rakyat tempatan di negara ini. Sudah tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada pasaran pelancongan domestik yang masih lagi berupaya untuk menjana keuntungan dan menyelamatkan sektor pelancongan di negara kita.

Fokus ini bukan sahaja membolehkan kita menghidupkan semula sektor pelancongan tetapi akan turut dapat meningkatkan lagi keupayaan kita untuk mempersiapkan negara daripada sudut penyediaan fasiliti dan perkhidmatan, apabila keadaan pulih kembali kelak.

Memperkasa Pelancongan Domestik Di Malaysia

Bermula 10 Jun 2020, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihentikan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula, jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke tempat-tempat peranginan di seluruh negara meningkat, sekaligus memberikan satu nafas baharu kepada pengusaha sektor pelancongan di Malaysia.

Satu kajian pendapat oleh Tourism Malaysia mendapati, 84% daripada responden mengatakan disebabkan oleh Covid-19, mereka kini akan lebih berhati-hati dalam memilih tempat-tempat peranginan untuk bercuti. 71.3% daripada responden juga menyatakan mereka akan mengutamakan pilihan untuk bercuti di Malaysia berbanding ke luar negara.

Meneroka Potensi Pelancongan Domestik

Sektor pelancongan di negara kita mempunyai potensi tinggi yang belum diterokai sepenuhnya. Antara lain, sektor eko-pelancongan (eco-tourism) merupakan satu cabang yang perlu diambil peduli bagi merangsang industri pelancongan domestik Malaysia.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengadakan lawatan Mossy Forest di Cameron Highlands baru-baru ini.

Perkara ini pernah dibincangkan oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman (Universiti Putra Malaysia) dalam sebuah artikel bertajuk – ‘Merangsang Sektor Pelancongan Domestik Pasca PKP, Keperluan Melestari Khazanah Alam’ yang menurutnya, eko-pelancongan dijangka bakal melonjakkan industri pelancongan negara sekaligus memastikan kesinambungan industri ini semasa dunia masih lagi berhadapan dengan ancaman Covid-19.

Aktiviti eko-pelancongan yang pertama kali diangkat sebagai antara cabang penting dalam industri ini telah dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-7 & ke-8 (RMK 7 & RMK 8) dengan terbentuknya Pelan Eko-pelancongan Kebangsaan (2016-2025) pada tahun 2015. Dengan adanya pelan pembangunan ini, sekaligus aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan akan dijalankan selari dengan penjagaan dan kelestarian alam sekitar.

Misi Pahang Dalam Meningkatkan Eko-pelancongan

Bagi Negeri Pahang Darul Makmur, kita perlu menawarkan lebih banyak opsyen kepada para pelancong dari dalam negara untuk berlibur, sama ada secara berseorangan atau bersama keluarga tercinta.

Kita mempunyai pantai-pantai yang cantik, tasik-tasik yang mengasyikkan dan hutan-hutan yang menawan untuk diterokai oleh semua rakyat Malaysia.

Pada tahun 2018, Pahang mencatatkan jumlah pelancong tertinggi seramai 13.4 juta orang dan kita menyasarkan 15 juta orang pelancong bagi tahun 2020. Namun, apabila dunia berhadapan dengan ancaman penularan virus Covid-19, ia memberikan impak negatif kepada sektor pelancongan dunia, yang mana Pahang turut terkesan dengannya.

Rekod menunjukkan, bermula Mac 2020, kita telah kehilangan 1.05 juta pelancong setiap bulan dan ini merupakan satu perkara yang amat membimbangkan bagi semua yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini.

Ketika artikel ini ditulis, Kerajaan Negeri Pahang telah dan sedang merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong ke dalam negeri ini, khususnya bagi pelancongan domestik.

Antara perkara yang sedang dilaksanakan ialah dengan meningkatkan aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di seluruh Negeri Pahang, terutamanya bagi tempat-tempat tumpuan yang boleh dijadikan pusat eko-pelancongan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri ketika mengadakan lawatan Mossy Forest di Cameron Highlands baru-baru ini.

Terbaharu, Kerajaan Negeri Pahang berjaya dalam usaha untuk memulihkan kawasan Sungai Ichat di Cameron Highland, yang terjejas teruk akibat pencemaran disebabkan oleh aktiviti pekebun haram. Sungai Ichat kini boleh digunakan untuk aktiviti riadah terkawal dan ini merupakan kejayaan yang besar kepada seluruh anak negeri Pahang.

Kerajaan Negeri Pahang telah mewartakan kawasan seluas 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat bagi melindungi keindahan warisan khazanah alam negeri ini. Ini ditambah lagi dengan penaiktarafan kepada Taman Negeri Rompin (dahulu dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin), yang telahpun dibuka semula kepada orang awam pada 1 Oktober 2020. Terkini Kerajaan Negeri bakal mewartakan Lubuk Yu di Maran sebagai Taman Negeri Pahang.

Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur turut merancang untuk memajukan Tanjung Gemok pintu masuk ke Pulau Tioman, sebagai sebuah hub pelancongan Negeri Pahang dengan 122 projek cadangan di bawah draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Gemok.

Sebanyak 17 projek berimpak tinggi, 58 projek utama dan 47 projek sokongan juga akan dibangunkan di kawasan berkenaan
Selari dengan seruan United Nation World Tourism Organisation (UNWTO) berkenaan iltizam pelancongan mampan (sustainable tourism) Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memastikan tanggungjawab dalam penjagaan alam sekitar dan tindakan pemuliharaan berterusan akan tetap diberikan tumpuan.

Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur akan sentiasa mempertingkatkan usaha terutamanya dalam hal penjagaan fasiliti dan menyediakan kemudahan-kemudahan tertentu yang bakal memberikan manfaat kepada pelabur, pemain industri, pekerja dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 881 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download