Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 18 JANUARI 2021: Beban yang ditanggung mangsa banjir khususnya di Dewan Negeri (DN) Bebar turut mendapat perhatian YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Hajjah Meriam Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah serta adinda-adinda beliau.
Sebanyak 70 kotak berisi barangan dapur dan makanan telah diserahkan semalam untuk diagihkan kepada mangsa banjir selain sumbangan jaket keselamatan.

Simbolik penyerahan dan penerimaan telah dilakukan di Bilik Gerakan DN Bebar, Permatang Pauh di sini oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beliau dalam ucapannya amat bersyukur dan bertuah dengan keprihatinan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh YAM Tengku Tan Sri Hajjah Meriam yang sentiasa dekat di hati rakyat Pekan khususnya di kawasan Bebar.
“Sumbangan ini merupakan usaha Bendahari Pergerakkan Puteri Islam Negeri Pahang, Datin Sri Khadijah Ibrahim yang juga merupakan isteri kepada Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad.
“Beliau telah memohon bantuan ini bagi pihak kami di Bebar dan saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih atas usaha Datin Sri Khadijah dalam membantu mangsa banjir di sini,” katanya.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata mesyuarat bersama Jawatankuasa Banjir Bebar akan diadakan segera bagi merancang pengagihan bantuan agar sampai kepada sasaran sebaik mungkin.
“Terima kasih juga diucapkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir ke Bebar dari Kuala Lumpur petang tadi yang telah memunggah dan menyusun segala bantuan bersama kakitangan pejabat DN Bebar.
“Segala usaha yang dihulurkan amat kami hargai dan semoga segala kesulitan serta beban dialami mangsa banjir sedikit sebanyak berkurangan dengan bantuan yang dihulurkan,” katanya. -PAHANGMEDIA