Oleh: Fairus Mohd
KUALA LIPIS, 15 JANUARI 2021 : Penduduk yang mengambil komponen kapal lama yang ditemui terdampar di tepi sungai berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom diminta agar menyerahkannya kembali kepada pihak berwajib.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hasil temubual dengan penduduk mendakwa terdapat sekumpulan penduduk kampung telah mengambil komponen kapal lama berkenaan.

“Saya ingin menasihati orang awam agar tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan bahan simpanan atau koleksi.
“Jika terlibat, kes akan disiasat mengikut Seksyen 47 penemuan objek di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya yang turut meninjau lokasi tempat kapal berkenaan ditemui, hari ini.
Turut sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I.
Sementara itu, beliau mengesahkan pihaknya telah memaklumkan penemuan kapal terbabit yang dilaporkan penduduk kepada pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk tindakan selanjutnya.
“Pada badan kapal tersebut tertera satu objek logam yang tertulis Vivian & Sons Sheating dan kita percaya kapal ini berusia ratusan tahun.
“Ia terdampar di tepi sungai selepas banjir besar yang melanda daerah ini sejak awal bulan mulai surut,” katanya. -PAHANGMEDIA