Foto: FB DS Shahaniza Shamsuddin & FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang
KUANTAN, 2 JANUARI 2021: Seramai 32 orang terdiri daripada lapan keluarga dari Kampung Jara, Kuala Sentul, Maran dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila kediaman mereka dinaiki air petang semalam.
Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa dipindahkan ke PPS Balairaya Kampung Jara dan mangsa terdiri daripada lapan orang lelaki, 11 wanita, 13 kanak kanak dan dua bayi.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin bergegas ke PPS tersebut bagi menziarahi dan menyantuni mangsa lewat malam tadi selepas selesai majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Maran.
Menerusi Facebook beliau, Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata beliau bersama beberapa rakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Maran meluangkan masa bersama mangsa.

“Saya dan beberapa rakan AJK Bahagian meluangkan sedikit masa menyantuni mereka yang dalam keadaan ditimpa musibah, sekurangnya dapat juga menenangkan perasaan mereka.

“Syabas dan terima kasih kepada JKM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah membantu proses pemindahan dan menguruskan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu menerusi Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka bersama agensi penyelamat lain telah menjalankan operasi menyelamat mangsa termasuk mangsa yang sedang menjalankan aktiviti keagamaan di sebuah kuil.-PAHANGMEDIA