Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberikan pelbagai insentif berkaitan dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan, dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, antaranya kerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) melalui program PENJANA (LAKSANA) dalam memastikan usahawan kecil mendapat bantuan.
“Setakat pertengahan September lalu, usahawan Pahang yang mendapat bantuan PENJANA hanya sekitar lima hingga enam peratus daripada RM35 bilion yang diperuntukkan dan perkara ini diberi perhatian.
“Pihak Berkuasa Tempatan juga membenarkan peniaga kecil dan penjaja menjalankan perniagaan dari kawasan rumah berikutan pergerakan terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Ketari, YB. Puan Young Syefura Othman (DAP) berkenaan usaha kerajaan negeri untuk terus membantu pengusaha kecil dan sederhana dalam menghadapi krisis ekonomi COVID-19 pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
YB. Dato’ Haji Nazri menambah, pelbagai usaha dilakukan bagi ‘menyelamatkan’ usahawan kecil termasuk memberi kelonggaran tempoh bayaran premis PKNP, pengurangan kadar 50 peratus kadar sewaan bagi usahawan bumiputera bengkel PPD Sungai Soi, PKPP dan TKPM.
“Kita juga melaksanakan penangguhan kutipan hutang peserta di semua rancangan sosial PKPP, pelanjutan tempoh masa bayaran cukai tanah hak milik perniagaan, industri dan pertanian serta pengecualian bayaran duti hiburan,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana dapat mengharungi krisis ekonomi COVID-19 dan tidak memberhentikan pekerja, MARA telah menyediakan kemudahan latihan dan bimbingan, pembiayaan, geran dan ruang premis perniagaan. -PAHANGMEDIA