Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2020: Khidmat Nasihat Secara Dalam Talian/Maya atau ‘Toursim Virtual Advisory Clinic (T-VAC) membuka peluang kepada pengusaha pelancongan merancakkan kembali usaha mereka ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia menyediakan khidmat nasihat kepakaran serta pengurusan kewangan.
“Kita turut mengaktifkan kerjasama negeri-negeri jiran yang bersempadanan seperti Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan serta negeri-negeri wilayah timur dalam memasarkan pakej-pakej menarik intra-negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin (BN) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan mengenai Siri Lawatan Familiarisasi Promosi Pasca COVID-19 yang sedang giat dilakukan ke seluruh daerah di negeri Pahang bersama pengamal media, bloggers, influencer dan pengusaha pelancongan bagi mempromosikan destinasi pelancongan baru dan sedia ada.
“Bertemakan ‘Dream Today, Visit Pahang Tomorrow’, pakej-pakej pelancongan setiap destinasi menarik itu akan dipaparkan melalui media cetak, media elektronik serta sosial media.
“Secara tidak langsung usaha tersebut akan membawa lebih ramai pelancong ke negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA