Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah.
KEKALKAN NORMA BAHARU
Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 10 NOVEMBER 2020: Rakyat Pahang diminta supaya terus mengamalkan norma baharu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah berkata, pengamalan norma baharu ini dilihat berkesan apabila Pahang tidak mencatatkan sebarang kes baharu sejak beberapa hari yang lepas.
“Semua ini adalah kerjasama daripada pelbagai pihak yang komited menangani penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Orang ramai termasuklah premis perniagaan dan juga pelbagai agensi terbabit seperti pihak kesihatan, pasukan polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sangat komited menjalankan operasi dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Katanya lagi, premis perniagaan terutamanya kedai makan haruslah memastikan persekitaran premis selamat dan bersih sebelum memulakan operasi perniagaan supaya pematuhan SOP berada pada tahap yang baik.
“Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan kerana kegagalan mematuhi SOP dan seterusnya mendatangkan kerugian jika premis diarah tutup selama 14 hari sebelum dapat beroperasi seperti biasa.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai topeng muka dan kerap mencuci tangan atau pun menggunakan cecair pembasmi kuman jika menyentuh sebarang permukaan,” katanya. – PAHANGMEDIA