Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LIPIS, 7 NOVEMBER 2020 : Seramai 22 individu dan jabatan menerima bantuan kewangan berjumlah RM221,080 daripada Kerajaan Pahang bagi pelbagai keperluan sama ada rawatan perubatan, perusahaan dan kegunaan jabatan masing-masing.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat dan menyediakan sejumlah peruntukan yang besar bagi membantu pihak yang memerlukan.
“Kerajaan sememangnya prihatin terhadap nasib rakyat dan sentiasa berusaha untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan.
“Semua dapat dilaksanakan kerana negeri Pahang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar di Dewan Residen, di sini, pagi tadi.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan barisan kepimpinan daerah Lipis.
Pada majlis itu seramai 22 individu dan jabatan seluruh Pahang menerima sumbangan kewangan daripada kerajaan negeri.
Bantuan diberikan kepada Pejabat Penghulu Mukim Penjom, Majlis Daerah Lipis (MDL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lipis, Sekolah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan dan individu persendirian. – PAHANGMEDIA